SEPANG, 10 Nov — Tiga lelaki yang maut akibat disambar petir semasa cuaca buruk di Bandar Baru Salak Tinggi disahkan mempunyai hubungan kekeluargaan membabitkan dua beradik dan seorang sepupu.

Ketiga-tiga mangsa yang terkorban dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu dikenal pasti sebagai dua beradik iaitu Mohd Sahrif Marusin, 26, dan adiknya Mohamad Ahzam Marusin, 16, serta sepupu mereka, Mohammad Safwan Aksan, 18.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, mengesahkan kesemua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai disambar petir ketika berteduh di bawah sebatang pokok sewaktu hujan lebat melanda kawasan berkenaan.

Seorang ahli keluarga mangsa, Haris Salleh Kurais, 42, berkata ketiga-tiga mangsa mempunyai hubungan yang sangat rapat dan sentiasa meluangkan masa bersama, termasuk dalam aktiviti harian dan minat mereka.

“Mereka bertiga memang rapat. Kalau pergi ke mana sahaja mereka pasti bersama-sama. Contoh, kalau mahu baiki motosikal, seorang pergi, dua lagi akan ikut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Haris Salleh memaklumkan beliau menerima perkhabaran duka berkenaan sekitar jam 4.30 petang dan menyatakan kali terakhir bertemu ketiga-tiga mangsa adalah dua hari sebelum kejadian ketika mereka meluangkan masa bersama di pantai.

Menurutnya, jenazah ketiga-tiga mangsa akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Semporna, Sabah untuk urusan pengebumian sebaik sahaja prosedur bedah siasat selesai dijalankan.

Ahli keluarga dan waris terdekat dilaporkan mula berkumpul di Jabatan Forensik hospital berkenaan sejak jam 8.00 malam bagi menguruskan tuntutan jenazah.

Terdahulu, beberapa rakaman video memaparkan keadaan ketiga-tiga mangsa terbaring di lokasi kejadian tular di media sosial sejurus insiden berlaku.

IMG_1646

Anggota polis dan orang awam berada di lokasi kejadian tiga lelaki yang maut dipercayai akibat disambar petir sewaktu berteduh di bawah sebatang pokok ketika hujan lebat di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Mangsa yang terkorban disahkan merupakan dua beradik, Mohd Sahrif Marusin, 26, dan Mohamad Ahzam Marusin, 16, serta sepupu mereka, Mohammad Safwan Aksan, 18, yang berasal dari Semporna, Sabah. - Kredit Foto: Media Sosial