BANJARMASIN, 8 Nov — Seorang kru maut selepas sebuah helikopter pemadam kebakaran terhempas di Sungai Barito berhampiran Desa Tabatan Baru, Kecamatan Kuripan, Kabupaten Barito Kuala, Kalimantan Selatan, pada Ahad.

IMG_1594

Kru warganegara Indonesia yang terkorban dalam nahas helikopter pemadam kebakaran Super Puma VH-HGM dikenal pasti sebagai Yayan Supyansuri, yang bertugas sebagai Pegawai Pendaratan Helikopter (Helicopter Landing Officer / HLO).

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Yayan Supyansuri, warganegara Indonesia. Dua lagi individu di dalam pesawat berkenaan, iaitu Michael John Betteridge dari Australia dan Hugh Andrew John Page dari New Zealand, disahkan terselamat dalam insiden terbabit.

Helikopter jenis Eurocopter EC225LP Super Puma dengan nombor pendaftaran VH-HGM itu dilaporkan mengalami nahas sekitar jam 11.58 pagi waktu tempatan (WITA) ketika menjalankan misi sokongan memadamkan kebakaran hutan dan lahan (karhutla).

Nahas dilaporkan berlaku semasa helikopter berkenaan sedang melaksanakan manuver pengambilan air di Sungai Barito menggunakan peralatan baldi gantung (Bambi Bucket) bagi operasi pengeboman air (water bombing).

Perkembangan terkini yang dikeluarkan pihak berkaitan ini sekali gus membetulkan maklumat awal sebelum ini yang menyatakan bahawa kesemua tiga anak kapal berjaya diselamatkan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat lama atau spekulasi yang belum ditentusahkan, sebaliknya merujuk kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan agensi bertanggungjawab bagi mendapatkan perkembangan lanjut mengenai siasatan insiden tersebut.