PUTRAJAYA | 15 Oktober 2026 - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa urusan pembayaran pampasan serta faedah kepada waris empat kakitangannya yang terkorban dalam tragedi nahas helikopter di Miri pada 8 September 2026 kini giat diselaraskan secara menyeluruh, telus dan berhemah.


Menerusi kerjasama rapat antara KKM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), pemberian faedah pencen terbitan serta bantuan kewangan yang layak diterima oleh waris telah diuruskan merangkumi pelbagai bayaran secara sekaligus (pukal) dan bulanan.
Menurut kenyataan rasmi KKM hari ini, jumlah keseluruhan bayaran pukal yang layak diterima oleh setiap mangsa adalah tidak kurang daripada RM130,000.00 yang merangkumi Gantian Cuti Rehat (GCR), Ganjaran Terbitan, Bantuan Mengurus Jenazah dan Ex-Gratia Kematian.
Sementara itu, bayaran bulanan bagi Pencen Terbitan pula akan mula diterima oleh tanggungan mangsa bermula pada 21 Oktober 2026.
KKM turut menjelaskan bahawa Pencen Terbitan berkenaan akan dibahagikan mengikut kadar syer kepada waris-waris yang layak berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan setiap tanggungan yang berhak menerima bahagian masing-masing. Sehubungan itu, pihak JPA akan memberikan penerangan lanjut kepada waris terlibat berhubung kaedah pembahagian tersebut.
Dalam perkembangan sama, waris mangsa juga bakal menerima pencen tanggungan dan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja yang kini sedang diproses oleh Bahagian Pencen Cawangan Sarawak serta Kementerian Kewangan Malaysia.
Sebagai tanda penghormatan tertinggi di atas pengorbanan keempat-empat kakitangan terbabit, KKM telah mencadangkan pemberian kenaikan pangkat secara anumerta (posthumous) kepada mereka.
Cadangan tersebut telah pun diperakukan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam dalam mesyuarat yang berlangsung pada 13 Oktober 2026.
Walaupun menyedari tiada nilai kewangan yang mampu menggantikan kehilangan insan tersayang, KKM berharap penyaluran bantuan yang disegerakan dengan kerjasama semua pihak ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban kewangan serta urusan harian waris yang ditinggalkan.





