KUALA LUMPUR | 19 Oktober 2026 - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tampil menzahirkan rasa terharu dan ucapan penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan isteri tercinta beliau, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

IMG_7381

Menerusi satu hantaran rasmi di laman Facebook miliknya pada hari ini, beliau yang sedang melalui fasa kedukaan mendalam mengakui bahawa kudrat fizikalnya masih belum pulih sepenuhnya, meskipun telah cuba untuk kembali ke pejabat dalam sehari dua ini.

Mewakili seluruh ahli keluarganya, Tun Dr. Mahathir mengambil kesempatan tersebut untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah berganding bahu membantu menyempurnakan urusan pengebumian Allahyarhamah tempoh hari.

"Saya amat terharu kerana doa yang tidak putus-putus dipanjangkan kepada isteri saya Hasmah sehingga sekarang, sama ada di pusara mahupun dari mana-mana sahaja," ujar beliau dalam catatan tersebut.

Lebih menyentuh hati, tokoh negarawan itu berkongsi bagaimana kesedihan perpisahan ini turut mengingatkan dirinya untuk terus memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kurniaan jodoh yang panjang.

"Ia mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah S.W.T kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini," luahnya dengan penuh syahdu.

Dalam hantaran yang sama, beliau turut memohon ribuan kemaafan secara terbuka kepada mana-mana pihak sekiranya terdapat sebarang sapaan, lambaian, mahupun ucapan takziah yang tidak sempat disambut atau dibalasnya sepanjang tempoh berkabung ini.