KUALA LUMPUR | 21 Oktober 2026 - Kerajaan mengambil langkah tegas melarang warga perkhidmatan awam daripada menggunakan aplikasi navigasi Waze berikutan kebimbangan terhadap risiko keselamatan maklumat serta data pergerakan rakyat.

IMG_7691


Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang bersidang pada 20 Oktober dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Susulan keputusan itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah mengeluarkan surat arahan rasmi berhubung larangan berkenaan.

Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat, memandangkan Waze berpangkalan dan tertakluk di bawah undang-undang Israel.

IMG_7692


"Sehubungan itu, penggunaan aplikasi tempatan Tuju, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), digalakkan sebagai alternatif," ujar beliau.

Beliau turut menambah bahawa kerajaan kini terus memperkukuh ekosistem identiti bersepadu melalui MyKad dan MyDigital ID, yang disokong oleh perlindungan siber ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman kriptografi pasca-kuantum (PQC). Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) ditetapkan sebagai agensi penyelaras pelaksanaan arahan ini.

IMG_7693


Isu kaitan Waze dengan Israel mula mendapat perhatian meluas selepas Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil menggesa kerajaan mempertimbangkan sekatan berikutan terma penggunaan terbaharu syarikat itu yang dikemas kini pada 8 Julai lalu. Terma tersebut menamakan Waze Mobile Ltd yang berpusat di Tel Aviv sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan dan pengumpulan data pengguna.

IMG_7694


Dasar privasi aplikasi itu membolehkan pengumpulan maklumat sensitif seperti lokasi, laluan perjalanan, sejarah carian, dan butiran peranti. Laporan media antarabangsa sebelum ini turut mendedahkan bahawa data pergerakan berskala besar mempunyai nilai keselamatan yang tinggi, manakala negara seperti Iraq turut mengambil langkah merancang sekatan terhadap aplikasi sama menjelang akhir tahun.