KUALA LUMPUR | 14 Oktober 2026 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menahan seramai 29 lelaki menerusi satu operasi khas dinamakan Op Mega TikTok 2026 yang dilancarkan bermula 10 hingga 12 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, CP Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, operasi tersebut bertujuan memantau aktiviti serta mengambil tindakan terhadap individu yang menggunakan platform media sosial bagi mempromosikan dan menyebarkan dakyah berkaitan pertubuhan yang diwartakan sebagai haram oleh pihak kerajaan.
Menurut beliau, operasi bersepadu yang melibatkan 11 kontinjen iaitu Selangor, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Sabah dan Sarawak itu telah berjaya memberkas 28 lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara asing yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 49 tahun.
Kesemua tangkapan kini ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi mengenal pasti peranan suspek dalam kumpulan serta penglibatan mereka dalam lain-lain aktiviti jenayah.
Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 47 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 berkaitan kesalahan memiliki atau menyiarkan propaganda serta bertindak sebagai anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 4.15 petang hari ini, Datuk M. Kumar menegaskan bahawa PDRM komited memelihara keselamatan negara dan akan meneruskan operasi pencegahan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan jenayah terancang.
"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja melakukan sebarang perkongsian rakaman video yang berpotensi menimbulkan kegusaran kepada awam," tegas beliau sambil menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah terancang kepada pihak polis melalui saluran rasmi.








