KUALA LUMPUR | 26 Oktober 2026 - Monsun Timur Laut (MTL) bagi musim 2026/2027 dijangka bermula secara rasmi pada Selasa ini dan diramalkan berterusan sehingga Mac tahun hadapan.

Untitled design

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, sepanjang tempoh monsun berkenaan, corak tiupan angin lazimnya bertiup secara konsisten dari arah timur laut.

Menurut beliau, pada fasa awal MTL yang bermula dari November ini hingga Januari 2027, negara dijangka mengalami tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan. Keadaan ini berpotensi mengakibatkan kejadian banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai serta lokaliti yang berkedudukan rendah.

“Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” jelas beliau menerusi satu kenyataan rasmi.

Menjelang fasa akhir MTL iaitu dari Januari hingga Mac tahun hadapan, taburan hujan diramalkan mula berkurangan, terutamanya di negeri-negeri utara Semenanjung dan Sabah.

Perkembangan itu dijangka mengundang cuaca panas dan kering serta berpotensi mencetuskan gelombang haba yang lebih ekstrem ekoran pengaruh fenomena El Niño sangat kuat yang sedang melanda ketika ini.

Sehubungan itu, pihak MetMalaysia menasihatkan orang ramai agar membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang perubahan cuaca sepanjang tempoh MTL 2026/2027.

Masyarakat turut diseru supaya sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan dari semasa ke semasa menerusi laman web rasmi www.met.gov.my, aplikasi mudah alih myCuaca, platform media sosial rasmi atau melalui talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638.