KUALA LUMPUR | 21 Oktober 2026 - Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain hadir ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu bagi berdepan pertuduhan berhubung kes mengasari dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Peguam, Kitson Foong berkata, anak guamnya berstatus Orang Kena Saman (OKS) wajar dilepaskan dengan jaminan bon peribadi, bukannya melalui ikat jamin. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Semasa prosiding, peguam bela Kitson Foong yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya yang berstatus Orang Kena Saman (OKS) dilepaskan dengan bon peribadi tanpa perlu membayar wang ikat jamin, memandangkan beliau mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang selama 26 tahun serta tiada risiko untuk melarikan diri. Peguam turut memohon agar tiada syarat tambahan dikenakan selain pengecualian kehadiran semasa pengurusan kes.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail sebelum itu mencadangkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, serta syarat agar tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Majistret Khairatul Animah membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, namun menolak permohonan pengecualian kehadiran semasa pengurusan kes praperbicaraan. Mahkamah menetapkan tarikh 25 November depan untuk sebutan semula kes.
Mengikut kertas pertuduhan, Datuk Seri Mohd Shuhaily didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis berpangkat Lans Koperal iaitu Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25, dan Mohamad Faiz Saman, 40. Kejadian didakwa berlaku di kaunter J, Terminal 1 KLIA antara jam 1.27 hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, satu rakaman video tular pada 28 September lalu memaparkan insiden berhubung perselisihan faham di lokasi kejadian. Susulan itu, Datuk Seri Mohd Shuhaily menegaskan pendiriannya untuk bersikap telus dan tidak mahu kawasan pintu masuk negara dikompromi dengan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.





