KUALA LUMPUR | 20 Oktober 2026 - Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan bahawa beliau akan hadir ke Mahkamah Majistret Sepang pada esok hari bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes mengasari dua anggota polis.

Foto: Aiman Nur Suria| malaysiakini
Mengulas mengenai pendakwaan tersebut, Datuk Seri Mohd Shuhaily menyatakan pendirian terbuka dan bersedia untuk melalui serta menghormati proses sistem perundangan negara, selain akur menerima apa-apa jua keputusan mahkamah kelak.
“Sepertimana saya pernah katakan sebelum ini, perubahan untuk memperbaiki sempadan Malaysia mempunyai harga dan harga itu ialah diri saya,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Beliau turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan padu kepadanya dalam menjalankan amanah serta tugas rasmi yang dipertanggungjawabkan.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memaklumkan bahawa kertas siasatan kes berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kesakitan atau kecederaan kepada orang lain.
Sebanyak 25 orang saksi telah dipanggil merakamkan keterangan bagi melengkapkan siasatan berhubung insiden tular yang berlaku pada 28 September lalu, yang memaparkan beliau memarahi dua individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.





