PUTRAJAYA | 25 Oktober 2026 - Kerajaan terus memperkukuh perkembangan industri kreatif tanah air dengan memperuntukkan sebanyak RM15 juta menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) bagi menyokong pelbagai inisiatif penggiat seni tempatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dana di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu merangkumi enam kategori strategik yang dirangka khas bagi membuka peluang lebih inklusif kepada penggiat industri, daripada bakat muda amatur sehinggalah kepada artis veteran.
“Dana ini bertujuan membuka peluang lebih luas kepada bakat muda menerusi kategori seperti Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME), selain memberi ruang kepada artis veteran melalui Dana Super Telefilem Artis Veteran (STAR).
“Kita juga mahu menggalakkan penghasilan kandungan baharu yang memenuhi keperluan pasaran digital masa kini, seperti mikro drama untuk platform OTT,” katanya.

Menurut Fahmi, permohonan bagi kesemua kategori dana berkenaan boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) bermula 16 November ini - Foto: Utusan Malaysia
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pada Sabtu.
Enam kategori yang ditawarkan di bawah DKK kali ini ialah:
- Dana Co-Pro Antarabangsa Filem Cereka/Cereka Animasi
- Dana FAME (Dana First Time Amateur Filmmaker)
- Dana Co-Pro Program TV Super Telefilem
- Dana Co-Pro Mikro Drama Stesen Penyiar/Platform OTT
- Dana STAR (Dana Super Telefilem Artis Veteran)
- Dana Penerbitan Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kenegaraan

Menurut Fahmi, permohonan bagi kesemua kategori dana berkenaan boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) bermula 16 November ini.
Menyentuh mengenai penganjuran ASA edisi ke-37, Fahmi menyifatkan ia sebagai pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap dedikasi seluruh warga penyiaran sama ada di hadapan mahupun di belakang tabir.
Jelas beliau, penganjuran dwitahunan itu menjadi penanda aras penting dalam menilai kemajuan industri serta memastikan kategori yang dipertandingkan sentiasa selari dengan perubahan teknologi dan corak penggunaan media semasa, termasuk potensi mempertandingkan format hiburan baharu seperti mikro drama pada edisi akan datang.
Malam kemuncak ASA 2026 menyaksikan sebanyak 60 kategori dipertandingkan, termasuk dua anugerah berprestij iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa, di samping pengembalian semula kategori Pengulas Radio Terbaik.





