KUALA LUMPUR | 18 Oktober 2026 - Keadaan cuaca hujan nyata bukan penghalang bagi ribuan peminat untuk terus memberikan sorakan gemuruh pada Konsert Gema Bumantara penyanyi terkemuka negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Momen ceria PMX membuat isyarat 'mini heart' dalam balutan baju hujan (ponco) bersebelahan Datuk K ketika hadir memberikan sokongan di Konsert Gema Bumantara
Namun, apa yang paling mencuri tumpuan pada malam konsert tradisional tersebut adalah kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat turut sama berada dalam kalangan penonton meskipun terpaksa berbasah kuyup.
Tampil bersahaja menyarung baju hujan nipis jenis ponco, beliau dilihat duduk bersebelahan suami penyanyi tersebut, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) sambil menikmati persembahan kebudayaan yang disajikan di atas pentas mega berkenaan.
Kelibat Perdana Menteri yang mesra disapa PMX itu mencetuskan keterujaan luar biasa, sekaligus membuktikan sokongan padu pemimpin nombor satu negara terhadap penganjuran acara melibatkan industri seni, budaya, dan hiburan tanah air tanpa menghiraukan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Sikap merendah diri dan kebersamaan beliau bersama rakyat pada konsert tersebut kekal menjadi antara momen yang paling diperkatakan di media sosial.





