KUALA LUMPUR | 6 OKTOBER 2026 — Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan Fasa Peralihan Monsun bermula pada 9 Oktober 2026 dan berterusan sehingga penghujung Oktober.
Menurut METMalaysia, sepanjang fasa berkenaan, negara akan mengalami tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir.
Keadaan itu lazimnya membawa hujan lebat, kilat serta angin kencang dalam tempoh singkat, khususnya pada waktu petang dan awal malam.
Kawasan yang berpotensi terjejas termasuk kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia serta barat Sabah dan Sarawak.
Fenomena berkenaan juga berpotensi menyebabkan banjir kilat, kepala air, pokok tumbang serta kerosakan terhadap struktur yang tidak kukuh.
METMalaysia menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca serta saluran media sosial rasmi jabatan.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut.





