24 SEPTEMBER 2026 — Sekolah diingatkan supaya menggunakan punca kuasa yang telah ditetapkan serta mematuhi segala perkara dalam prosedur operasi standard (SOP) susulan trend Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin meningkat hari ini.

Arahan itu turut menekankan supaya langkah penyuraian murid dilaksanakan dengan baik serta dikomunikasikan secara jelas kepada ibu bapa dan penjaga bagi mengelakkan kekeliruan.

Antara langkah pengurusan IPU yang disarankan ialah menghentikan semua aktiviti luar serta-merta, memastikan murid kekal di dalam kelas dan membatalkan aktiviti terbuka termasuk perhimpunan serta Pendidikan Jasmani (PJ).

Dari aspek perlindungan kesihatan, pihak sekolah disaran menggalakkan pemakaian pelitup muka, mengenal pasti murid yang berisiko seperti mereka yang mempunyai asma atau masalah pernafasan serta menyediakan ruang rawatan sementara bagi murid yang tidak sihat.

Guru juga disaran kekal bersama murid di dalam kelas bagi memastikan pengawasan berterusan, selain mengurangkan pergerakan antara blok atau bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada udara luar.

Aktiviti luar pula boleh digantikan dengan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam kelas yang lebih fleksibel, termasuk kerja kumpulan kecil, pembelajaran kendiri berpandu dan penggunaan bahan digital.

Pihak sekolah turut boleh menyusun semula jadual waktu, termasuk menggantikan waktu PJ dengan subjek teori atau aktiviti ulang kaji serta mengehadkan aktiviti yang memerlukan pergerakan atau pendedahan kepada udara luar.

Dalam aspek pemantauan kesihatan, guru kelas atau guru mata pelajaran disaran memantau keadaan murid secara berkala dan merekod murid yang menunjukkan simptom seperti batuk, pening atau sesak nafas.

Murid yang memerlukan perhatian lanjut hendaklah dirujuk segera untuk tindakan kesihatan yang bersesuaian.

PELEPASAN AWAL MURID

Sekolah juga boleh melaksanakan pelepasan awal secara berperingkat sekiranya keadaan IPU kekal tinggi atau terus meningkat.

Dalam keadaan berkenaan, pihak sekolah perlu menghubungi ibu bapa atau penjaga untuk mengambil anak masing-masing.

Murid hanya dibenarkan pulang bersama ibu bapa, penjaga atau wakil yang sah bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Dari aspek komunikasi, pihak sekolah disaran memastikan maklumat berkaitan keadaan IPU serta tindakan yang diambil disampaikan dengan cepat, jelas dan konsisten.

Saluran rasmi sekolah seperti WhatsApp, Telegram atau SMS boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat dan perkembangan terkini kepada guru serta ibu bapa atau penjaga.

Kemas kini secara berkala juga penting bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan semua pihak memahami tindakan yang sedang dilaksanakan.

Dalam mesej berkenaan, Majelan Sulong turut menyatakan kesediaan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membantu sekolah dalam menguruskan situasi tersebut.

“Insyaallah akan dipermudahkan segala urusan kita,” katanya dalam mesej yang dikeluarkan pada 24 September 2026, jam 6.33 pagi.