SINGAPURA | 29 SEPTEMBER 2026 - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Putera Mahkota Brunei Darussalam merangkap Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, berangkat ke Singapura bagi menghadiri Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei ke-12 yang berlangsung dari 28 September hingga 2 Oktober 2026.
Baginda dijadualkan mempengerusikan bersama program berkenaan dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, atas jemputan pemimpin Singapura itu.
YLP yang diperkenalkan pada 2013 merupakan program tahunan bagi membina dan memperkukuh hubungan antara generasi pemimpin muda kedua-dua negara, selain menjadi platform membincangkan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama.
Antara bidang yang diberi perhatian termasuk ekonomi digital dan hijau, kewangan, pertahanan serta sekuriti makanan.
Sepanjang lawatan, Putera Mahkota turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam, serta Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan pemimpin Singapura yang lain.
Baginda juga dijadualkan melawat beberapa lokasi termasuk Pelabuhan Tuas, SAFTI City, Temasek Shophouse, SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine, Masjid Sultan, Malay Heritage Centre, Singapore Oceanarium, Punggol Digital District dan Singapore Institute of Technology.
Delegasi Baginda turut disertai Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei, Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos serta pegawai kanan kerajaan.
Program itu mencerminkan komitmen berterusan Brunei dan Singapura untuk memperkukuh hubungan dua hala, khususnya melalui penglibatan generasi pemimpin seterusnya.





