KUALA LUMPUR | 30 SEPTEMBER 2026 — Jemaah Menteri bersetuju perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata keputusan itu mengambil kira kemampuan PMKS yang berdepan tekanan kos operasi serta cabaran ekonomi semasa.
Menurut beliau, kerajaan akan mengambil pendekatan lain bagi membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS, termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif, supaya peningkatan gaji dapat bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti.
“Kerajaan akan mengambil pendekatan lain untuk membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif,” katanya.
Steven Sim berkata, kerajaan pada masa sama mahu memastikan kebajikan pekerja terbela dengan gaji yang lebih wajar, manakala PMKS kekal berdaya saing untuk terus berkembang dan menjana peluang pekerjaan.
Keputusan itu dibuat ketika kerajaan sedang meneliti pelarasan kadar gaji minimum semasa sebanyak RM1,700 sebulan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan sebelum ini berkata sebarang keputusan mengenai kadar baharu, termasuk dakwaan kenaikan kepada RM2,000, RM2,100 atau RM2,200, belum diputuskan dan pengumuman akan dibuat selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Kadar gaji minimum RM1,700 mula dilaksanakan kepada semua majikan yang menggajikan pekerja pada 1 Ogos 2025 selepas tempoh pelaksanaan berperingkat.
Kerajaan dijangka memperincikan hala tuju kadar gaji minimum baharu menerusi Belanjawan 2027 pada 9 Oktober 2026.





