NEW YORK, 25 SEPTEMBER 2026 — Malaysia menggesa perkongsian beban dan tanggungjawab antarabangsa yang lebih besar bagi menyokong negara-negara yang menempatkan pelarian Rohingya susulan konflik berpanjangan serta keadaan kemanusiaan yang meruncing di Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyelesaian mampan terhadap isu Rohingya perlu menangani punca utama krisis, termasuk persoalan status kewarganegaraan, selain mewujudkan keadaan yang membolehkan mereka kembali ke Negeri Rakhine secara selamat, sukarela dan bermaruah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan intervensi Malaysia pada Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Khamis.

Mohamad turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap usaha memastikan pertanggungjawaban atas pelanggaran hak asasi manusia serta menyokong kes yang dikemukakan Gambia terhadap Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Malaysia juga aktif menyumbang kepada Dana OIC untuk Rohingya dan menggalakkan negara anggota OIC lain memberikan sumbangan bagi menyokong usaha kemanusiaan berkaitan.

Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 September bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB (UNGA).