JAKARTA, 25 September 2026 — Kebakaran hutan dan lahan (karhutla) menjejaskan hampir 660 hektar kawasan di dua taman negara Indonesia, iaitu Taman Negara Way Kambas di Lampung dan Taman Negara Gunung Merapi di Jawa Tengah.

Menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), kebakaran di Taman Negara Way Kambas, Kabupaten Lampung Timur, yang bermula pada 22 September, menjejaskan kira-kira 600 hektar kawasan di RPTN Cabang SPTN Wilayah II Bungur. 

Operasi pemadaman berdepan beberapa kekangan termasuk akses ke lokasi yang sukar, bekalan air terhad serta jarak titik kebakaran yang jauh daripada sumber air.

Pasukan gabungan terdiri daripada Balai Taman Nasional Way Kambas, BPBD, TNI, Polri dan sukarelawan menggunakan peralatan tangan, jet shooter serta pam mudah alih. Pemadaman tidak langsung turut dilakukan dengan membina ilaran api (firebreak) bagi menghalang pergerakan api. 

Sementara itu, kebakaran di Taman Negara Gunung Merapi, Kabupaten Magelang, Jawa Tengah, menjejaskan kira-kira 59.5 hektar kawasan hutan antara 22 hingga 24 September.

BNPB memaklumkan sebahagian besar kawasan terbakar berjaya dipadamkan menjelang malam 24 September, namun pasukan gabungan masih menjalankan rondaan dan pemantauan kerana terdapat bara api di beberapa lokasi yang berpotensi mencetuskan semula kebakaran. 

Kebakaran di kawasan Gunung Merapi melibatkan vegetasi seperti rumput dan pokok pain, manakala pemantauan kawasan dilakukan termasuk menggunakan dron. 

Secara keseluruhan, keluasan kawasan yang terjejas di kedua-dua taman negara berkenaan dianggarkan 659.5 hektar.

BNPB turut mengingatkan orang ramai supaya meningkatkan kewaspadaan ketika keadaan kering, khususnya mengelakkan pembakaran terbuka yang tidak diawasi kerana api boleh merebak dengan pantas apabila keadaan disertai angin kencang.