BANGKOK, THAILAND, 26 September 2026 — Pihak berkuasa Bangkok mengisytiharkan seluruh 50 daerah pentadbiran ibu negara Thailand sebagai kawasan bencana banjir susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan jalan raya ditenggelami air dan beberapa kawasan mengalami banjir serius.
Pengisytiharan itu dibuat pada Sabtu oleh Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, selepas hampir 300 milimeter hujandirekodkan sejak petang Khamis.
Hujan yang turun hampir berterusan menyebabkan sistem terusan Bangkok dipenuhi air, manakala air banjir memasuki kediaman, premis perniagaan dan beberapa laluan utama.
Bahagian timur Bangkok dilaporkan antara kawasan paling terjejas. Beberapa jalan utama turut dinaiki air, termasuk Jalan Phetchaburi, dengan kenderaan dilaporkan terkandas dalam banjir.
Chadchart menggesa penduduk supaya berada di rumah sekiranya tidak mempunyai keperluan untuk keluar, selain memindahkan kenderaan dan barangan ke kawasan lebih tinggi.
Pihak berkuasa turut memberi perhatian kepada penduduk yang tinggal berhampiran terusan serta pesakit terlantar yang bergantung kepada peralatan perubatan penting.
Menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), stesen pam beroperasi pada kapasiti tinggi bagi mengurangkan paras air, manakala pusat perlindungan sementara turut disediakan.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand turut memberi amaran mengenai kemungkinan hujan lebat berterusan yang boleh menyebabkan banjir kilat, limpahan sungai dan kejadian berkaitan di beberapa kawasan.
Pengisytiharan meliputi kesemua 50 daerah itu membolehkan agensi serta organisasi tempatan mengambil tindakan kecemasan dengan lebih pantas dan tersusun bagi menangani keadaan banjir.





