KUALA LUMPUR | 29 Oktober 2026 - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengkaji keperluan memperkenalkan langkah kawal selia tambahan terhadap platform permainan dalam talian termasuk Roblox bagi melindungi pengguna, khususnya golongan kanak-kanak daripada ancaman keselamatan siber.

IMG_9414

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti keperluan kawal selia tambahan terhadap permainan dalam talian, termasuk Roblox, bagi memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak. — Fahmi | Foto BERNAMA

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC bersama Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) kini sedang menjalankan penyelidikan menyeluruh terhadap dinamika dan risiko permainan digital, merangkumi aspek interaksi sosial antara pengguna, kandungan permainan serta mekanisme keselamatan yang dipasang oleh penyedia perkhidmatan.

Menurut beliau, dapatan kajian berkenaan turut membandingkan amalan dan kerangka piawaian antarabangsa bagi mengenal pasti kaedah kawal selia yang paling efektif untuk dikuatkuasakan di Malaysia.

“Pada masa sama, CMCF sedang melaksanakan rundingan awam bagi membangunkan Sub-Kod Permainan dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pengendali gedung aplikasi, pembangun permainan tempatan dan antarabangsa, pakar keselamatan dalam talian, industri e-sukan, pengamal undang-undang serta penyelidik.

“Hasil kajian dan rundingan ini akan menjadi asas pertimbangan terhadap keperluan langkah kawal selia selanjutnya yang berasaskan bukti dan tahap risiko demi memastikan keselamatan pengguna terus terpelihara,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyedari perlindungan digital bermula dari rumah, Fahmi menegaskan kerajaan memberi tumpuan serius kepada pemerkasaan fungsi kawalan ibu bapa (parental control) menerusi Kempen Internet Selamat, disokong oleh peruntukan sebanyak RM58.7 juta menerusi Belanjawan 2027. Inisiatif advokasi ini dirangka merentasi penglibatan ibu bapa, institusi pendidikan, komuniti dan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beliau membentangkan data penguatkuasaan ketat MCMC bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 September 2026, yang menyaksikan sebanyak 14,706 kandungan lucah dan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak telah diturunkan, manakala 5,170 laman sesawang lucah berjaya disekat.

Mengenai ancaman penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan deepfake khususnya kes penyebaran imej bogel palsu membabitkan pelajar di Seremban beliau menegaskan siasatan penuh sedang digerakkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama MCMC dan Meta. Berdasarkan rekod, sebanyak 5,341 aduan berhubung buli dan gangguan dalam talian dilaporkan dari Januari 2023 hingga 15 Oktober 2026.

Bagi aktiviti perjudian haram dalam talian, MCMC telah menurunkan sebanyak 828,438 kandungan dan menyekat 7,411 laman web bagi tempoh Januari 2022 hingga September 2026. Kerjasama strategik bersama PDRM turut diperkukuh menerusi Op JOL dan Op Soga XI bagi membanteras pertaruhan bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026, selain Op Pancing dan Op Delusi bagi membanteras sindiket penipuan SMS menggunakan peralatan stesen pemancar palsu (Fake BTS).