KUCHING | 16 Oktober 2026 - Tahap liputan internet mengikut kawasan penempatan di Sarawak kini merekodkan pencapaian membanggakan pada kadar 94.5 peratus.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, bagi menyelesaikan isu kesalinghubungan di kawasan yang masih mengalami titik buta, inisiatif Fasa 2 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dijangka mula dilaksanakan pada suku pertama tahun 2027.

Menurut beliau, inisiatif fasa kedua itu akan merangkumi pembinaan menara telekomunikasi baharu serta penyediaan penyelesaian internet berasaskan satelit di 337 lokasi. Pelaksanaan JENDELA Fasa 2 ini dilaporkan sedang berada di peringkat tender.

“Bagi kawasan luar bandar, sebanyak 618 menara telekomunikasi Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) menerusi inisiatif Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) serta 196 menara telekomunikasi lain menyediakan perkhidmatan sambungan melalui Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Jelas Datuk Liwan, pelaksanaan infrastruktur MySRBN menerusi rangkaian menara sedia ada dan menara SMART baharu telah banyak membantu merapatkan jurang kesalinghubungan di kawasan pedalaman, dengan menawarkan perkhidmatan jalur lebar wayarles tetap.

Kemudahan tersebut turut diperkukuhkan dengan sambungan gentian optik berkelajuan tinggi terus ke kediaman (FTTH) melalui program MySRBN XL, dengan memanfaatkan infrastruktur Titik Kehadiran (PoP).

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa liputan internet bagi kawasan penempatan di DUN Kota Sentosa sendiri kini telah mencecah 98.5 peratus.