KUCHING | 29 SEPTEMBER 2026 - Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak memohon spektrum tambahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu mengurangkan kesesakan rangkaian telekomunikasi ketika berlaku peningkatan penggunaan.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, permohonan itu merupakan antara usaha memperkukuh kemudahan telekomunikasi serta memastikan pengguna menerima perkhidmatan yang lebih baik.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama wakil MCMC, Sarawak Multimedia Authority (SMA), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), SACOFA dan Sarawak Information Systems (SAINS).
Isu kabel dan gentian optik yang putus atau rosak akibat vandalisme serta kecurian turut diberi perhatian, selain keperluan meningkatkan kerja penyelenggaraan menara, kabel dan talian telekomunikasi secara lebih sistematik.
Julaihi turut menyarankan kerjasama lebih rapat antara penyedia perkhidmatan telekomunikasi, termasuk penggunaan teknologi Multi Operator Core Network (MOCN) bagi memaksimumkan manfaat perkhidmatan kepada pengguna.
Beliau turut mencadangkan premis yang bergantung kepada transaksi dalam talian, termasuk stesen minyak, menggunakan talian tetap sebagai sambungan utama dan rangkaian mudah alih sebagai sambungan sokongan bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan.





