KOTA SAMARAHAN, 26 September 2026 — Taman Tasik Desa Ilmu (TTDI) berpotensi menjadi salah satu lokasi rekreasi dan tarikan pelancongan di Kota Samarahan susulan kemudahan yang telah dinaik taraf untuk dimanfaatkan masyarakat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, berkata TTDI kini mempunyai wajah baharu selepas melalui proses naik taraf, sekali gus menjadikannya lebih selesa dan sesuai sebagai lokasi riadah.
Menurut beliau, kemudahan di kawasan berkenaan akan terus dipertingkatkan, termasuk usaha menambah pencahayaan bagi memberi keselesaan kepada masyarakat yang menggunakan kawasan itu untuk beriadah pada waktu malam.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Larian Fun Run TTDI di Kota Samarahan, pada Sabtu.
Rubiah turut menyeru masyarakat memanfaatkan TTDI sebagai tempat beriadah, berkumpul serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan, kemudahan dan aset awam yang disediakan di kawasan berkenaan.
Beliau turut menggalakkan masyarakat membantu mempromosikan TTDI sebagai lokasi rekreasi melalui platform media sosial.
Program Fun Run TTDI Samarahan turut disenaraikan dalam portal rasmi Pentadbiran Bahagian Samarahan.





