KUCHING, 24 SEPTEMBER 2026 — Radio Televisyen Malaysia (RTM) komited memperkukuh kolaborasi bersama Kerajaan Sarawak menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan TV Sarawak (TVS) bagi meningkatkan penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail berkata, kerjasama itu penting bagi mendepani perubahan teknologi serta landskap media yang semakin mencabar, selain memastikan kandungan yang disampaikan kekal relevan kepada masyarakat.

Menurut beliau, kolaborasi RTM dan TVS turut merangkumi penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM), termasuk perkongsian pengalaman, kepakaran serta bahan arkib RTM bagi menyokong penganjuran acara berkenaan.

“RTM dan TVS kini aktif melaksanakan pertukaran kepakaran dalam aspek berita dan hal ehwal semasa, pemerolehan kandungan serta penganjuran program secara fizikal dan digital.”

Ashwad berkata kerjasama melibatkan RTM, UKAS dan TVS akan terus diperkasa bagi memperkukuh penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Kunjungan Hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching, pada Rabu.

Dalam pada itu, Ashwad menegaskan perubahan cara masyarakat mendapatkan dan menggunakan kandungan menuntut pengamal media untuk terus meningkatkan kemahiran serta meneroka pendekatan baharu.

Menurut beliau, perkembangan teknologi turut menjadi antara fokus RTM, khususnya dalam membentuk generasi muda yang mempunyai keupayaan dan azam untuk menguasai bidang teknologi.

Kerjasama strategik antara RTM, UKAS dan TVS turut meliputi potensi penerbitan program serta pertukaran kandungan dalam bidang berita, hal ehwal semasa, hiburan dan penganjuran acara.

Pada masa sama, perkongsian bahan arkib RTM termasuk rakaman dan gambar sejarah Sarawak berpotensi menjadi sumber rujukan kepada generasi muda untuk memahami perkembangan negeri serta sejarah pembentukan Malaysia.

Turut hadir dalam rombongan RTM ialah Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop; Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan dan Pengarah Penyiaran Sarawak, Wan Wizana Hashim.

Usaha memperkukuh jaringan antara agensi penyiaran dan komunikasi berkenaan mencerminkan keperluan menyesuaikan penyampaian maklumat dengan perubahan landskap media, khususnya dalam era digital.