KUCHING, 25 SEPTEMBER 2026 — Kemalangan berantai membabitkan empat kenderaan di RH Plaza, Jalan Lapangan Terbang, Kuching, petang tadi mengakibatkan dua individu mengalami kecederaan ringan.

Kemalangan kira-kira jam 3 petang itu membabitkan sebuah Toyota Hilux, Ford Ranger, sebuah van dan Honda. 

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kedua-dua mangsa masih mampu berjalan ketika pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya tiba di lokasi.

Pemeriksaan mendapati tiada mangsa terperangkap di dalam kenderaan seperti dilaporkan sebelum ini.

Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pembersihan tumpahan minyak di atas permukaan jalan bagi memastikan laluan selamat.

Operasi turut dibantu dua pegawai peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Selepas keadaan di lokasi didapati terkawal dan selamat, operasi ditamatkan pada jam 3.43 petang.