Di negeri seluas Sarawak, bertanding dalam pilihan raya bukan sekadar soal keberanian bersuara, tetapi juga ujian kemampuan kewangan dan logistik.

Barisan bakal calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) menunjukkan watikah masing-masing pada majlis penyerahan watikah calon dan pelancaran manifesto parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 di Kuching. — Foto: Suara Sarawak
Hakikat itu diakui secara terbuka oleh Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Dr John Brian Anthony ketika memperkenalkan 26 bakal calon parti tersebut bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 di Kuching.
Daripada keseluruhan barisan yang diketengahkan, hanya sekitar tiga orang sahaja berusia bawah 40 tahun. Selebihnya terdiri daripada muka lebih berusia yang berlatarbelakangkan bidang perubatan, undang-undang, pendidikan, perniagaan, perladangan serta pengurusan kejururawatan.
Menurut Dr John Brian, komposisi itu berkait rapat dengan kedudukan kewangan parti yang membiayai sendiri penyertaan dan kempen pilihan raya tanpa bantuan dana pihak luar.
Walaupun mengakui ramai anak muda masih mengambil sikap tunggu dan lihat, PBDS berharap penyertaan kali ini dapat membuka ruang lebih luas kepada generasi baharu dan profesional Dayak pada masa hadapan.
PERTARUHAN DI 26 KERUSI MERENTASI SARAWAK.
Di sebalik barisan profesional berpengalaman itu, kemunculan penyanyi Iban, Stanley Phua di kerusi Dudong serta calon termuda parti, Damien Epoi di Mulu antara yang mencuri tumpuan.
Dr John Brian sendiri akan bertanding di Kakus, manakala Dr Bego Sepop dicalonkan di Serembu dan Miri Janging atau Mary Jangin di Telang Usan.
Secara keseluruhan, PBDS menyusun cabarannya merentasi tiga zon utama:
- 1. Selatan Sarawak: Bayang Teron (Opar), Jani Unggu @ Daniel Jani (Tasik Biru), Sanjan Daik (Mambong), Lebanon Ero (Tarat), Kembi Rigong (Tebedu), Vincent Amis (Kedup), Joannes Ruba (Bukit Semuja), Petrus Simon Awan @ Peterson (Balai Ringin), Jimmy Uding (Bukit Begunan), John Antau Linggang (Krian), Belitang Abeng (Kabong) dan Thomas Buan (Kalaka).
- 2. Tengah Sarawak: Tedwin Beti (Ngemah), Satia Brian (Machan), Anthony Didy Entawamat (Tamin), Leighton Manjah (Baleh), Bernard Tahim Bael (Kemena) dan Baba Emperan (Samalaju).
- Utara Sarawak: Sulang Limu (Lambir), Perri Lusorg (Batu Danau) dan Pita Asut @ Peter Asut (Ba’Kelalan), selain kerusi Telang Usan dan Mulu.
TAWARAN LUAR BANDAR DAN SOAL KEPERCAYAAN PENGUNDI MENILAI JANJI, DASAR DAN HARAPAN MASYARAKAT
Penyerahan watikah calon turut diseiringkan dengan pelancaran manifesto PBDS yang menggariskan 10 agenda utama sekiranya diberi mandat membentuk Kerajaan Sarawak.
Bagi pengundi di luar bandar dan pedalaman, tiga perkara utama yang menjadi tumpuan dalam manifesto tersebut ialah cadangan peruntukan RM10 bilion dalam tempoh lima tahun untuk pembangunan luar bandar, pengurangan tarif elektrik isi rumah luar bandar sebanyak 30 peratus, serta usaha memperkukuh pentadbiran tanah adat.
Parti itu turut menawarkan 20,000 peluang latihan industri dan penempatan pekerjaan berbayar setiap tahun, selain cadangan mengehadkan tempoh jawatan Premier kepada dua penggal.
Menyedari kebimbangan pengundi terhadap isu wakil rakyat bertukar parti selepas menang, PBDS turut mengikat setiap calonnya dengan syarat perjanjian tegas. Mana-mana wakil rakyatnya yang menang tetapi kemudian keluar atau berpaling tadah berdepan tuntutan bayaran RM20 juta, tertakluk kepada terma perjanjian dan undang-undang berkaitan.
Bagi pengundi Sarawak, senarai calon dan manifesto ini memberi gambaran jelas tentang pendekatan PBDS bergantung kepada pengalaman profesional yang membiayai kempen sendiri, menyasarkan isu asas masyarakat luar bandar, dan cuba meyakinkan pengundi bahawa kesetiaan calon mereka diikat secara bertulis.





