SARAWAK | 25 Nov 2026 - Timbalan Speaker DUN Sarawak, Datuk Idris Buang, 72, sah tidak akan mempertahankan kerusi DUN Muara Tuang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, 12 Disember ini.

Dalam kenyataan medianya pada Selasa, wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menyifatkan pengundurannya berlaku pada detik yang sangat bermakna ketika Sarawak sedang memacu kemajuan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Saya amat bersyukur kerana diberi peluang berkhidmat di bawah kepemimpinan beliau yang telah membawa Sarawak ke tahap pembangunan yang semakin membanggakan," katanya.

Langkah sama turut diambil penyandang kerusi DUN Kabong yang juga daripada GPS-PBB, Datuk Mohd Chee Kadir, 73. Keputusan itu, jelasnya, dibuat selepas menimbang tara soal kesinambungan kepimpinan serta masa depan kawasan Kabong.

Baginya, sudah sampai masanya ruang dan peluang dibuka kepada barisan pelapis muda untuk menyambung tanggungjawab serta aspirasi pembangunan yang telah dirintis selama ini.

Sebelum itu, penyandang kerusi DUN Simunjan daripada GPS-PBB, Awla Dris, 64, terlebih dahulu mengesahkan minggu lalu bahawa beliau sudah bertemu Abang Johari dan timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi menyatakan hasrat untuk tidak bertanding.

Turut disebut-sebut mengikut jejak langkah ini ialah tiga lagi nama besar Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus, 70 (GPS-PBB) di DUN Bekenu; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, 70 (GPS-SUPP) di DUN Simanggang; serta penyandang DUN Beting Maro, Razaili Gapor, 70 (GPS-PBB).

Tidak ketinggalan, wakil rakyat paling berusia pada penggal lalu, ADUN Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh, 84, yang mengumumkan keluar daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) pada Isnin.

Namun, nasib regunya di DUN Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa, 64, masih menjadi tanda tanya sama ada beliau turut berundur selepas meninggalkan PDP atau sebaliknya, memandangkan ada cakap-cakap bahawa beliau sudah menyertai SUPP.

Faktor kesihatan dan keperluan menampilkan wajah baharu dalam kepimpinan kawasan serta parti dilihat menjadi pendorong utama di sebalik gelombang pengunduran ini.

Bagaimanapun, berbeza pula ceritanya bagi penyandang dua penggal DUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang dan ADUN sepenggal DUN Ngemah, Anyi Jana. 

Kedua-dua bekas wakil rakyat Parti Rakyat Sarawak (PRS) ini dikhabarkan tidak mendapat "lampu hijau" daripada pucuk pimpinan parti.

Menurut sumber dalaman parti, kerusi Pelagus bakal diisi oleh bekas Pegawai Daerah Kanowit, Cerislogo Sabut, manakala Ahli Majlis Tertinggi PRS, Alexander Donald disebut-sebut menggantikan tempat di Ngemah. 

Difahamkan, pengguguran mereka berpunca daripada ketiadaan persefahaman dengan kepimpinan tertinggi PRS yang kini diterajui Datuk Seri John Sikie Tayai.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Baleh, Nicholas Kudi Jantai yang sebelum ini turut kencang diperkatakan bakal digugurkan dilaporkan kekal mempertahankan kerusinya hasil kompromi Majlis Tertinggi GPS.

Kudi merupakan anak saudara kepada mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing, bekas Timbalan Ketua Menteri dan pengasas PRS.

Apa pun percaturannya, kesemua pemimpin yang memilih untuk berundur secara sukarela ini wajar dipuji kerana berjiwa besar. Mereka meletakkan kepentingan Sarawak dan parti mengatasi segala-galanya, termasuk kuasa dan kedudukan.

Jika dilihat pada rekod penggal lalu, 23 peratus wakil rakyat GPS berusia 70 tahun ke atas, manakala 22 peratus lagi berumur 65 tahun ke atas.

Ini bermakna, jika mereka masih bertanding kali ini, usia mereka akan mencecah 70 hingga 75 tahun pada penghujung penggal akan datang sekali gus menjadikan penggal tersebut sebagai penampilan terakhir mereka.

Dari segi tempoh perkhidmatan pula, ada yang sudah bertahan sehingga 10 penggal dan lapan penggal. Lima wakil rakyat pula telah berkhidmat selama tujuh penggal, tiga orang selama enam penggal, dan lima lagi selama lima penggal.

Persoalannya, adakah mereka ini akan terus dipertaruhkan? Benar, jika khidmat dan bakti kepada rakyat menjadi ukuran, soal usia atau tempoh penggal bukanlah penghalang.

Namun secara realistiknya, tanpa ancaman besar daripada parti-parti nasional yang turut menyatakan solidariti, inilah detik paling tepat untuk GPS melakukan proses rejuvenasi menggantikan barisan veteran dengan muka baharu yang mampu mewarisi visi jangka panjang Abang Johari.

Hakikatnya, senarai muktamad sudah pun berada di tangan Abang Johari yang diberi mandat penuh membuat keputusan terbaik.

Sama ada wujud kejutan atau kerusi yang ditangguhkan pengumumannya seperti kes Royston Valentine di DUN Tellian pada pilihan raya lalu, segalanya bakal terjawab jam 12.00 tengah hari ini di ibu pejabat PBB.

Pengumuman rasmi hari ini (Rabu) bukan sahaja mendebarkan parti-parti lawan, malah turut mengundang resah dalam kalangan komponen GPS sendiri. Adakah akan berulang situasi kerusi tradisi SUPP seperti DUN Dudong diserahkan kepada PDP? Atau semua kerusi tradisi ini akan dipulangkan semula bagi membetulkan keadaan?

Lebih menarik untuk diperhatikan, mampukah PDP yang kehilangan dua kerusi kembali bertanding di enam kerusi asalnya, atau parti itu akan cuba menuntut dua kerusi yang secara tradisinya milik SUPP?

Tumpuan kini terarah sepenuhnya kepada pesta demokrasi terbesar di Bumi Kenyalang termasuklah dinamika hubungan antara SUPP dan PDP.

Dua parti komponen ini sering kali dilihat saling berbalas sindiran di pentas politik, meskipun pemimpin utamanya kerap duduk sebelah-menyebelah dalam majlis rasmi kerajaan mahupun parti.

Hakikatnya, segala kekusutan ini boleh terlerai asalkan masing-masing kembali berpegang pada teras utama GPS: Utamakan Sarawak.

Untuk rekod, hari pengundian PRU Sarawak ditetapkan pada 12 Disember depan dengan hari penamaan calon berlangsung Sabtu ini. Pada edisi 2021, GPS menyapu bersih 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, sebelum tiga bekas wakil rakyat Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai PDP dan seorang lagi memilih menjadi calon Bebas mesra GPS.