KABONG | 31 Oktober 2026 - Inisiatif turun padang Perbendaharaan Malaysia Sarawak di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menerusi penganjuran Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak menerima sambutan hangat daripada ratusan penduduk sekitar daerah Kabong.

Program bersepadu tersebut dianjurkan bagi memudahkan urusan harian komuniti setempat, sekali gus mengurangkan beban masa, jarak perjalanan serta kos logistik yang sering dihadapi penduduk pedalaman untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan di bandar-bandar utama seperti Saratok atau Sri Aman.

Berdasarkan tinjauan petugas meja berita di lokasi, program berkenaan menyediakan akses menyeluruh menerusi pembukaan lebih 20 kaunter perkhidmatan utama yang dibahagikan kepada empat kluster tumpuan:

  1. Agensi Kerajaan & Jabatan Persekutuan: Perbendaharaan Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Unit Tabung Darah Hospital Saratok, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
  2. Kewangan, Perbankan & Pembiayaan: Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), dan Tabung Baitulmal Sarawak.
  3. Kementerian & Agensi Ekonomi: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sri Aman, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), serta Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PENESA).
  4. Teknologi, Digital & Komunikasi: Pejabat Kementerian Digital Wilayah Sarawak, MyDigital Corporation, serta reruai kesedaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama kempen Sebenarnya.my.

"Syukur alhamdulillah, pak cik hari ini sempat perbaharui lesen memandu di kaunter JPJ, lepas itu terus singgah semak caruman di kaunter KWSP. Selalunya kalau kami dari kampung hendak buat urusan dokumen atau bank macam ini, terpaksa keluar seawal 6 pagi naik bas atau sewa kereta pergi ke Saratok. Tambang lagi, minyak kereta lagi. Tapi bila semua jabatan berhimpun di sini, semuanya selesai dalam tempoh tidak sampai sejam. Memang sangat memudahkan kami golongan kampung."  Ujar penduduk.

Selain perkhidmatan kaunter terus, tumpuan orang ramai turut terarah kepada penganjuran Program Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga subsidi, di samping aktiviti sampingan seperti demonstrasi keselamatan memadam kebakaran, demonstrasi masakan komuniti, dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Program berkenaan turut diserikan dengan kunjungan mesra Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Kabong, Yang Berhormat Dato Mohd Chee Kadir bersama isteri beliau, Yang Berbahagia Datin Meryani Bt Haji Yassin.

Kunjungan tersebut dimanfaatkan bagi beramah mesra dengan penduduk setempat selain meninjau perjalanan serta operasi kaunter perkhidmatan yang disediakan sepanjang program berlangsung.

Program turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan mewarna serta cabutan bertuah sebagai salah satu pengisian bagi memeriahkan suasana dan penglibatan komuniti setempat.

Pelaksanaan program komuniti bergerak ini membuktikan kesungguhan agensi kerajaan persekutuan dan negeri dalam memperkasakan konsep keterangkuman penyampaian perkhidmatan awam (service delivery) demi kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar.