Hukum asal dalam Mazhab Syafie menetapkan sentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, termasuk antara suami dan isteri, boleh membatalkan wuduk tanpa mengira sama ada sentuhan itu berlaku secara sengaja, tidak sengaja, dengan syahwat atau tanpa syahwat.
Namun, terdapat perincian hukum apabila sentuhan berlaku dalam keadaan keperluan atau kesukaran, khususnya apabila seorang isteri membantu suaminya yang tidak berdaya mengambil wuduk.
Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Al-Kafi #1602: Isteri Membantu Suami Mengambil Wuduk Tanpa Lapik, keadaan sedemikian boleh diberikan rukhsah berdasarkan keperluan dan maslahah.
Dalam situasi tersebut, Mufti Wilayah berpandangan wuduk suami tetap sah sekiranya bantuan itu benar-benar diperlukan, selaras dengan kaedah fiqh yang memberikan kelonggaran ketika berlaku kesempitan.
Pandangan tersebut turut mengambil kira pandangan yang dinukilkan daripada Imam al-Nawawi dalam Mazhab Syafie bahawa sentuhan tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk dalam salah satu pandangan yang lemah.
Selain itu, Mazhab Hanafi berpandangan bahawa sentuhan antara lelaki dan perempuan, termasuk suami dan isteri, tidak membatalkan wuduk secara mutlak.
Bagaimanapun, rukhsah berkenaan bukanlah kelonggaran tanpa batasan. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan ia perlu berdasarkan keperluan sebenar dan tidak wajar dijadikan alasan untuk mengambil mudah dalam urusan hukum agama.
Antara pertimbangan yang dinyatakan ialah ketiadaan individu lain seperti lelaki atau mahram yang boleh membantu serta keadaan yang tidak memungkinkan penggunaan sarung tangan atau kaedah lain bagi mengelakkan sentuhan langsung.
Justeru, bagi kes seorang suami yang tidak berdaya dan memerlukan bantuan isterinya untuk mengambil wuduk, terdapat ruang rukhsah berdasarkan pertimbangan maslahah dan keadaan yang dihadapi.
Dalam keadaan biasa, hukum asal Mazhab Syafie tetap terpakai. Namun, apabila wujud kesukaran yang nyata, rukhsah boleh dipertimbangkan berdasarkan panduan dan batasan yang ditetapkan syarak.





