KUCHING | 19 Oktober 2026 - Sebanyak 680 buah sekolah di seluruh Sarawak telah diklasifikasikan sebagai tidak selamat untuk diduduki, sekali gus mencetuskan keperluan mendesak terhadap pelaburan berskala besar bagi menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur pendidikan yang kian uzur.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn - Foto UKAS
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn mendedahkan bahawa sekolah-sekolah berkenaan kini berada pada tahap Skala 6 dan 7, yang menandakan kerosakan struktur kritikal dan menuntut intervensi segera.
"Di bawah peruntukan pendahuluan RM1 bilion, sebanyak 86 projek sekolah daif telah siap dilaksanakan, manakala baki 54 projek lagi masih berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan," jelas beliau semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif di peringkat negeri, Dato Sri Roland menjelaskan bahawa menerusi Projek Rakyat, enam daripada 12 projek membaik pulih sekolah yang dikenal pasti telah berjaya disiapkan, sementara selebihnya masih dalam fasa prapembinaan serta pelaksanaan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan sebanyak RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 buah sekolah daif di seluruh negara, terutamanya di Sabah dan Sarawak, sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi pembentangan Belanjawan MADANI 2027 baru-baru ini.
"Saya berharap sebahagian besar daripada peruntukan ini dapat disalurkan untuk menaik taraf infrastruktur dan menambah baik kemudahan sekolah di Sarawak," tegas beliau bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih terjamin dan kondusif untuk anak-anak Sarawak.





