LAWAS | 2 OKTOBER 2026 - Polis menahan dua lelaki berusia 49 tahun dan merampas selaras senapang patah buatan sendiri serta tiga butir peluru dalam operasi bersepadu di Jalan Lawas-Damit, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintenden Liong Tindan berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 11.50 pagi.

Hasil pemeriksaan di sebuah rumah membawa kepada penemuan satu laras senapang patah di dalam sebuah bilik dan tiga butir peluru senapang patah di dapur rumah berkenaan. 

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati senapang patah berkenaan adalah buatan sendiri dan tidak mempunyai lesen yang sah.

Kedua-dua suspek kemudiannya menjalani saringan air kencing dan didapati positif dadah jenis amphetamine serta methamphetamine.

Semakan rekod kesalahan lampau turut mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Dalam operasi berasingan di daerah sama, polis turut menahan lapan lelaki di beberapa lokasi kerana disyaki positif dadah dalam operasi yang dijalankan bermula 23 September hingga 1 Oktober 2026.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.