SEREMBAN | 26 Oktober 2026 - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya yang merupakan seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di sebuah kuarters penjawat awam, pertengahan bulan ini.

Tertuduh, Mohd Khairudin Safi’ai, 37, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya, seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), di sebuah kuarters penjawat awam pada pertengahan bulan ini. Foto: BERNAMA
Tertuduh, Mohd Khairudin Safi’ai, 37, sekadar mengangguk faham sejurus kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes melibatkan pertuduhan bunuh berada di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan terhadap isterinya, Norhazwani Ibrahim, 35, di sebuah kediaman di Kompleks Perumahan Penjawat Awam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, kira-kira jam 7.00 malam pada 15 Oktober lepas.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan forensik dan bedah siasat sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.





