KUALA LUMPUR | 27 SEPTEMBER 2026 - Kutipan dana bagi membantu Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda RM50 juta yang menjadi syarat untuk beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah kini mencecah RM9.25 juta.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu direkodkan setakat jam 10 pagi hari ini, namun masih belum mencukupi untuk mencapai sasaran RM50 juta.

Menurutnya, usaha sedang dilakukan untuk menambah kutipan dana berkenaan dan beliau berharap rakan-rakan dapat membantu dalam waktu terdekat bagi mencapai jumlah yang ditetapkan oleh Lembaga Pengampunan.

“Setakat jam 10 tadi sebanyak RM9.25 juta telah dikutip dan ini masih belum mencukupi untuk mencapai angka RM50 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Menurut Zahid, jumlah RM50 juta berkenaan perlu diselesaikan sebelum pelaksanaan tahanan di rumah dapat dilakukan sepenuhnya.

Pada 25 September lalu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata bekas Perdana Menteri itu tidak mampu menyediakan sendiri jumlah berkenaan susulan pembekuan beberapa akaun bank miliknya.

Muhammad Shafee turut menjelaskan bahawa Najib tidak pernah meminta sumbangan orang awam bagi membayar denda berkenaan, sebaliknya kutipan tersebut dimulakan pihak lain.

Pada 20 September, firma Shafee turut memaklumkan Najib sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan bagi memenuhi syarat pembayaran itu memandangkan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanahnya masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan.

Sementara itu, Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan UMNO sebelum ini dilaporkan berjaya mengumpul RM1 juta dalam tempoh kira-kira sehari.

Pada 18 September, UMNO mengumumkan pelancaran tabung berkenaan bagi membantu Najib melunaskan denda RM50 juta, dengan sumbangan dibuka kepada kepimpinan, ahli, penyokong parti serta mana-mana pihak secara sukarela.

Ia susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda tersebut.