IMG_3416

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) bersama Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta barisan kepimpinan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) dan JKR Sarawak merakamkan gambar kenangan di atas Jambatan Batang Lupar 2 selepas majlis perasmian mercu tanda baharu itu di Sri Aman hari ini - Foto: JKR Sarawak

SRI AMAN, 26 Nov - Satu lagi mercu tanda pembangunan infrastruktur Sarawak tercipta hari ini apabila Jambatan Batang Lupar 2 bernilai RM223.63 juta dirasmikan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg dalam satu majlis di sini.

Jambatan yang merentasi Sungai Batang Lupar itu menghubungkan Sri Aman (Simanggang) dengan Lidong di Bahagian Betong, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan darat serta merancakkan pertumbuhan sosioekonomi di wilayah tengah Sarawak.

Dalam ucapannya, Abang Johari merakamkan penghargaan kepada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak atas komitmen menjayakan pembinaan projek berimpak tinggi itu demi kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menggambarkan kemudahan perhubungan baharu antara Sri Aman dan Betong menerusi ungkapan bersahaja dalam dialek Sarawak, “Ketek ajak dah datang”, bagi merujuk perjalanan antara kedua-dua bahagian yang kini jauh lebih singkat dan mudah.

Cipta Rekod Kebangsaan dan Pendekkan Jarak Perjalanan

Projek yang merupakan sebahagian daripada Pakej B3 Projek Jalan Utama Kedua Sarawak (Second Trunk Road) itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dan dilaksanakan oleh JKR Sarawak di bawah MIPD.

Berbekalkan reka bentuk kabel-penahan (cable-stayed), jambatan tersebut mempunyai panjang keseluruhan 870 meterdengan rentang utama sepanjang 450 meter serta ketinggian menara mencecah 145.5 meter bersamaan kira-kira ketinggian sebuah bangunan 45 tingkat.

Kejayaan kejuruteraan itu turut melayakkan Jambatan Batang Lupar 2 diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai Menara Jambatan Kabel-Penahan Tertinggi di Malaysia (Tallest Cable-Stayed Bridge Pylon in Malaysia).

Jambatan yang telah mula dibuka kepada orang awam sejak 31 Oktober lalu itu menyediakan laluan alternatif yang lebih cekap, sekali gus memendekkan jarak perjalanan antara Sri Aman dan Betong daripada kira-kira 73 kilometer melalui Lebuhraya Pan Borneo kepada sekitar 28 hingga 30 kilometer menerusi Jalan Utama Kedua Sarawak.

15 daripada 22 Jambatan Mega Sarawak Telah Siap

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah anak Embas dalam ucapannya memaklumkan bahawa daripada keseluruhan 22 jambatan mega yang dibina di seluruh Sarawak, sebanyak 21 jambatan dilaksanakan oleh JKR Sarawak manakala sebuah lagi jambatan di Lawas dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Menurut beliau, JKR Sarawak setakat ini telah berjaya menyiapkan 15 buah jambatan, membuktikan kelancaran pelaksanaan projek infrastruktur negeri yang dibiayai sepenuhnya menggunakan dana Sarawak sendiri.

Beliau menegaskan pelaksanaan projek infrastruktur strategik tersebut sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang berteraskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar, di samping membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pertanian dan pelancongan di sepanjang koridor Sri Aman–Betong.