KUCHING | 15 Oktober 2026 - Sarawak Energy Berhad (SEB) digesa supaya mempercepatkan proses penyambungan bekalan elektrik ke kawasan Temalat serta rumah panjang yang masih belum menerima kemudahan asas tersebut di daerah Song.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, usaha untuk memperluas akses kemudahan elektrik ke kawasan luar bandar dan pedalaman harus dipergiatkan lagi bagi memastikan penduduk setempat dapat menikmati bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai.

Menurut beliau, pelaksanaan Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) sebelum ini telah berjaya membolehkan sebanyak enam buah rumah panjang di Sungai Tekalit dan empat lagi di Sungai Iran, Song, menikmati kemudahan elektrik menerusi pelaksanaan projek bernilai RM13.1 juta.

“Saya berharap SEB dapat memperkenalkan model perniagaan baharu bagi mempercepatkan proses penyambungan bekalan elektrik ke kawasan yang masih belum mendapat kemudahan berkenaan. Semakin cepat sambungan dibuat, semakin cepat hasil dapat dikutip,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.

Dalam pada itu, Lidam turut menegaskan bahawa pihak SEB perlu mengambil kira nilai sosial serta tanggungjawab korporat (CSR) yang mendalam dalam usaha membekalkan tenaga elektrik yang stabil kepada masyarakat di luar bandar.