KUCHING | 30 SEPTEMBER 2026 - Jambatan Sejingkat akan dibuka kepada pengguna jalan raya mulai jam 10 pagi, Isnin, 5 Oktober 2026, sekali gus menyediakan laluan alternatif bagi memperkukuh kesalinghubungan antara Kuching dan Samarahan.

Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang dipetik Jiwa Bakti, jambatan berkenaan merupakan sebahagian daripada rangkaian jalan alternatif Kuching-Samarahan. 

Jambatan sepanjang kira-kira 1,281.2 meter itu dibina mengikut piawaian JKR R5, dengan struktur utama menggunakan reka bentuk cable-stayed yang merentasi Sungai Sarawak.

Pembukaan jambatan berkenaan dijangka membantu melancarkan pergerakan trafik serta memperkukuh akses antara Sejingkat, Tanjung Bako dan kawasan sekitarnya. 

Selain aspek perhubungan jalan raya, infrastruktur itu turut dilihat menyokong pembangunan sosioekonomi melalui peningkatan mobiliti penduduk, pergerakan barangan serta akses ke kawasan pembangunan dan perindustrian.

JKR Sarawak turut mengingatkan pengguna supaya mematuhi papan tanda, had laju dan arahan keselamatan, khususnya sepanjang tempoh awal pembukaan jambatan.

Pengguna jalan raya juga diminta memandu secara berhemah bagi memastikan pergerakan trafik berlangsung dengan selamat dan lancar.