KUCHING | 29 SEPTEMBER 2026 - Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merasmikan Forum Rantaian Bekalan dan Penyumberan Global Sarawak 2026 di Hotel Pullman, Kuching, hari ini.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) itu memfokuskan sektor pembuatan dan perkhidmatan, dengan matlamat meningkatkan penyertaan syarikat serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan Sarawak dalam rantaian bekalan serantau dan global.

Forum berkenaan turut menjadi platform untuk memperluas peluang kerjasama antara syarikat tempatan dengan pemain industri, selain membantu PKS Sarawak meneroka pasaran dan peluang perniagaan yang lebih luas.

Usaha memperkukuh penyertaan PKS dalam rantaian bekalan global juga penting bagi meningkatkan daya saing syarikat tempatan serta memperluas penglibatan mereka dalam sektor industri dan perkhidmatan bernilai tinggi.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh serta Penasihat MINTRED, Dato Sri Mohd Naroden Majais.

Foto: Jiwa Bakti