KUCHING, 12 Nov — Wisma Melayu Sarawak secara rasminya menjadi mercu tanda baharu di negeri ini yang melambangkan keunikan warisan, identiti serta ketamadunan masyarakat Melayu Sarawak.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan merakamkan gambar kenangan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Perasmian Wisma Melayu Sarawak di Kuching, 11 November 2026. Turut kelihatan dalam sesi bergambar penuh istiadat berbusana tradisional Melayu bertengkolok itu ialah anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan serta barisan menteri dan dif-dif kenamaan negeri.
Majlis perasmian bangunan ikonik tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, diiringi isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, dalam satu acara penuh istiadat pada Rabu.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Istiadat perasmian dimulakan menerusi upacara simbolik penyerahan keris oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sebelum senjata warisan berkenaan diletakkan di atas podium khas.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi kemudian menyempurnakan lafaz perasmian disusuli pertunjukan bunga api yang memeriahkan suasana malam, sebelum beliau menandatangani plak perasmian sebagai tanda penyempurnaan acara.
Keunikan Wisma Melayu Sarawak terserlah menerusi reka bentuk seni binanya yang diinspirasikan daripada tengkolok atau destar, iaitu busana tradisi Melayu yang melambangkan kemuliaan, kedaulatan dan martabat bangsa.
Dari sudut sejarah pembangunannya, idea pembinaan kompleks berkenaan dicetuskan oleh Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi (Dr) Adenan Satem ketika menerajui Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), sebelum kerja pembinaan fizikal dimulakan pada Disember 2022 di atas tapak seluas 6.5 ekar di Jalan Diplomatik, Petra Jaya.
Mercu tanda baharu itu dilengkapi pelbagai prasarana moden termasuk Dewan Utama, pejabat pentadbiran yayasan, Pusat Sumber Melayu dan surau, manakala Muzium Tamadun Melayu Sarawak kini sedang dalam fasa perancangan.
Dewan Utamanya direka dengan kapasiti menampung kira-kira 2,000 tetamu bagi penganjuran persidangan serta sekitar 1,500 orang untuk majlis makan malam, sekali gus menjadi hab utama bagi pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, pendidikan dan kebudayaan.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; barisan Timbalan Menteri Sarawak; serta Pengurus Besar AKYBMS, Datu Dr Sanib Said.





