KUCHING | 30 Oktober 2026 - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Fauziah binti Mohd Sanusi berkenan berangkat menyerikan Majlis Penyampaian Hadiah Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo 1448H/2026M yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Dewan Kompleks Islam Kuching, malam tadi.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Fauziah binti Mohd Sanusi. Foto: Astana Sarawak
Keberangkatan tiba TYT Tun dan YABhg. Toh Puan disambut mesra oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), YB Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi bersama isteri, YBhg. Datin Hajah Siti Shorgayah binti Haji Ahmad Zaidin; Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak, YBhg. Datuk Haji Misnu bin Haji Taha bersama isteri, YBhg. Datin Hajah Jamilah binti Haji Said; serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak merangkap Pengerusi Jemaah Hakim, Sahibus Siyadah Datu Haji Mual bin Haji Suaud bersama isteri, YBhg. Datin Habsah binti Drahman.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah bersama suami, YBhg. Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif; serta wakil Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam, YM Tuan Awang Haji Shamsol bin Haji Omar.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah. Foto - Astana Sarawak
Penganjuran edisi tahun ini menghimpunkan seramai 32 orang peserta daripada sembilan buah bandar raya utama di Kepulauan Borneo merangkumi wilayah Sarawak, Sabah, Negara Brunei Darussalam serta lima wilayah Kalimantan iaitu Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan, Kalimantan Timur, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Utara. Pertandingan mempertandingkan dua disiplin utama iaitu Tilawah Al-Quran yang disertai 17 peserta Qari dan Qariah, serta acara Hafazan yang melibatkan 15 peserta Hafiz dan Hafizah.
Majlis dimulakan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Faathir (bermula ayat 32) oleh Johan Qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66, Ustazah Nur Syakura binti Mohamad Musa, disusuli persembahan nasyid bertajuk Ummah Maju Makmur oleh gabungan kumpulan nasyid Wildaniey, Ad-Dhiya’ dan El Khalish.
Keputusan rasmi menyaksikan dominasi peserta tuan rumah Kuching dan Samarinda, Indonesia. Bagi kategori wanita, Aisyah binti Yusof dari Kuching dinobatkan sebagai Johan Hafizah, manakala Nadita Aisyah Fitri dari Samarinda, Kalimantan Timur meraih gelaran Johan Qariah. Penyampaian hadiah bagi kedua-dua kategori wanita disempurnakan oleh YABhg. Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Fauziah.
Bagi kategori lelaki pula, Mohammad Zaini Na’im dari Samarinda merangkul gelaran Johan Hafiz, manakala anak jati Kuching, Hadi bin Mohd. Sharkawi muncul sebagai Johan Qari. Hadiah bagi kategori lelaki disempurnakan sendiri oleh TYT Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi.

Hadi bin Mohd. Sharkawi muncul sebagai Johan Qari. Foto: Astana Sarawak
Majlis turut melakar sejarah tersendiri menerusi upacara simbolik penyerahan status tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo daripada Sarawak kepada Sabah, yang disempurnakan oleh Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Junaidi kepada rakan sejawatnya, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif.
Dalam pada itu, TYT Tun menzahirkan harapan agar kejayaan para qari, qariah, hafiz dan hafizah dapat menjadi inspirasi berterusan dalam menghayati kalam suci Al-Quran serta mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Beliau menegaskan bahawa penghayatan nilai Al-Quran adalah tunjang kepada pembentukan masyarakat berilmu, berakhlak mulia serta pengukuhan ikatan ukhuwah dan keharmonian rentas wilayah di seluruh Kepulauan Borneo.





