KOTA SAMARAHAN, 11 Nov — Seramai 727 penerima di Bahagian Samarahan menerima manfaat melalui penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera, surat hak milik tanah serta pampasan pengambilan balik tanah bernilai keseluruhan RM5.26 juta bagi memperkukuh jaminan pemilikan aset tanah rakyat.

IMG_1730

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, hadir bersama barisan kepimpinan negeri bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera, Surat Hak Milik Tanah dan Cek Pampasan Pengambilan Balik Tanah di Dewan Suarah Kota Samarahan - Kredit Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Rabu.

Daripada jumlah penerima berkenaan, seramai 18 individu menerima Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak (KTS) membabitkan 11 warta penempatan, manakala 622 penerima menerima surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTS dan 33 lagi menerima hak milik di bawah Seksyen 13 KTS.

Bagi pampasan pengambilan balik tanah untuk pembangunan, sebanyak 73 keping cek dengan nilai keseluruhan RM5,256,513.30 diserahkan kepada 54 penerima yang terlibat dalam dua projek infrastruktur utama.

Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Samarahan, Ahmad Raslan Yaiyah, berkata inisiatif berterusan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak mempercepat proses pengukuran serta pengeluaran geran tanah secara sah kepada pemilik tanah adat dan individu.

Beliau memperincikan bahawa setakat 11 November 2026, seluas 23,839.69 hektar tanah di Bahagian Samarahan telah siap diukur melalui Inisiatif Baharu Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Seksyen 6 KTS, dengan 11,044.93 hektar daripadanya telah pun diwartakan.

Bagi pelaksanaan Fasa 2 di bawah Seksyen 18 KTS, sebanyak 3,440 lot individu berkeluasan 3,288.41 hektar berjaya diukur di seluruh bahagian tersebut.

Penyerahan surat hak milik Seksyen 18 KTS kali ini meliputi kawasan seluas kira-kira 466.75 hektar (1,153.36 ekar) merangkumi tujuh perkampungan, iaitu Kampung Mang, Kampung Sampun Tebun, Kampung Tanjung Pedada, Kampung Semera, Kampung Stok, Kampung Nangka dan Kampung Tebelu. Manakala bagi Seksyen 13 KTS, sebanyak 39 geran diserahkan kepada 24 penerima di Kampung Moyan Laut.

Mengenai pecahan pampasan pembangunan, Ahmad Raslan memaklumkan sebanyak RM4.87 juta (28 cek) diagihkan kepada 12 penerima bagi Projek Pusat Pentadbiran Bersepadu Samarahan (IAC), manakala RM386,276.90 (45 cek) disalurkan kepada 42 penerima bagi Projek Penahan Hakisan Tebingan Sungai Kampung Sageng.

Secara keseluruhan, Bahagian Samarahan merekodkan sebanyak 52 projek pengambilan balik tanah merangkumi empat projek Kerajaan Persekutuan dan 48 projek Kerajaan Sarawak dengan siling peruntukan RM106.38 juta, yang mana RM80.06 juta telah dibelanjakan dengan kemajuan fizikal mencapai 80.96 peratus.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang; Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi; serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.