KALIMANTAN | 15 Oktober 2026 - Keadaan semasa di Kalimantan, Indonesia mencetuskan perhatian ramai apabila ruang udara di kawasan berkenaan bertukar menjadi warna jingga kemerahan yang amat pekat.

Menerusi satu hantaran yang dikongsikan oleh pengguna platform Threads, Syed Akramin hari ini, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit dilaporkan telah direkodkan mencecah paras 1,300.

IMG_6800

Suasana ruang udara di sebuah kawasan penempatan di Kalimantan, Indonesia yang bertukar menjadi warna jingga pekat susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dilaporkan mencecah 1,300. — Foto: Threads (@syedakramin)

Berdasarkan dua keping foto yang dimuat naik dalam hantaran tersebut, pemandangan di sebuah jalan kawasan perumahan kelihatan diselubungi kabut tebal berwarna jingga sehingga menjejaskan jarak penglihatan.

Keadaan luar biasa yang menyelubungi ruang udara Kalimantan itu turut disifatkan oleh pemilik hantaran berkenaan seolah-olah seperti babak di dalam filem arahan pengarah terkenal, Christopher Nolan.

Perkongsian situasi semasa tersebut turut disertakan dengan ucapan takziah buat rakyat Indonesia yang sedang berdepan dengan kemelut udara berkenaan.