KUALA LUMPUR | 4 November 2026 – Majlis Media Malaysia (MMM) menzahirkan kebimbangan terhadap situasi ketidaktentuan yang dihadapi kakitangan Media Mulia Sdn Bhd susulan pengumuman syarikat berkenaan untuk melaksanakan langkah penstrukturan semula melibatkan operasi Utusan Malaysia dan Kosmo.

MMM menegaskan bahawa pihak pengurusan syarikat perlu menterjemahkan komitmen mereka melalui komunikasi yang jelas dan terbuka, bagi memastikan hak serta kebajikan warga kerja yang terjejas terus dilindungi sepanjang proses penstrukturan berlangsung.

Menurut MMM, pihaknya menyedari cabaran kewangan dan operasi getir yang dihadapi industri media ketika ini, selain memahami keperluan langkah penstrukturan semula demi kelangsungan operasi perniagaan dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, kebimbangan kakitangan mengenai masa depan mata pencarian dan jaminan pekerjaan mereka tidak boleh dipandang ringan, sekalipun belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat berhubung pemberhentian pekerja.

"Kakitangan berhak mendapat penjelasan yang jelas mengenai proses penstrukturan semula, kriteria yang digunakan dalam membuat keputusan berkaitan pekerjaan mereka serta kemungkinan kesannya terhadap masa depan mereka," jelas majlis itu menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dalam perkembangan sama, MMM mengalu-alukan kesediaan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil untuk mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan bagi meneliti isu berkenaan serta mencari jalan penyelesaian terhadap kebimbangan jaminan pekerjaan yang disuarakan.

Kenyataan itu turut menegaskan kelangsungan sesebuah organisasi media tidak boleh sesekali dipisahkan daripada aspek kebajikan pengamal media itu sendiri.

Sehubungan itu, sebarang keputusan sukar yang perlu diambil pihak majikan wajar disertai rundingan yang bermakna, keadilan serta ketelusan bersama pekerja yang terkesan.

MMM menyatakan kesediaan untuk berperanan sebagai pemudah cara bagi mewujudkan perbincangan membina antara semua pihak yang terlibat, ke arah mencapai penyelesaian yang adil dan mampan bagi industri dan pekerja.

IMG_1069
IMG_1070