LIMBANG, 8 Nov - Kejadian tebing sungai pecah yang mengakibatkan perubahan aliran arus dan mendapan pasir tebal di stesen muka sauk telah menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Trusan, sekali gus mencetuskan gangguan bekalan air bersih yang meluas kepada penduduk di Daerah Lawas.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak mengesahkan pengumpulan pasir dan sedimen tanah di kawasan pengambilan air mentah itu menyebabkan kemasukan air ke sistem pam berkurangan secara mendadak, khususnya pada waktu paras sungai surut.
Situasi kritikal tersebut mengehadkan kapasiti rawatan loji daripada beroperasi pada tahap optimum.
Bagi menangani kesan gangguan kepada pengguna, beberapa langkah intervensi segera digerakkan di tapak loji.
Kerja-kerja pengorekan pasir sedang dijalankan secara aktif bagi membersihkan halangan di stesen muka sauk dan memulihkan kadar sedutan air mentah.
Sebagai langkah sokongan teknikal jangka pendek, agensi terbabit turut memasang sistem pam terapung (pontoon). Selain itu, kerja pembaikan struktur cerun di bahagian belakang muka sauk akan dilaksanakan bagi menstabilkan tebing sungai dan mengelakkan hakisan berulang.
Di peringkat pengagihan domestik, JBALB Bahagian Limbang mempertingkatkan bilangan armada lori tangki serta kekerapan penghantaran bekalan air kecemasan mengikut zon keutamaan.
Pusat Pengumpulan Air Berpusat (Centralized Water Collection Centre atau CWCC) turut dibuka di beberapa lokasi strategik di Lawas, termasuk pemasangan tangki statik di Jalan Pantai dan Jalan Banting bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan air harian.
JBALB bagaimanapun menjelaskan bahawa pengagihan melalui lori tangki dan tangki statik sekadar langkah mitigasi kecemasan sementara sumber air mentah distabilkan.
Sebagai penyelesaian menyeluruh jangka panjang, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) bersama JBALB kini giat melaksanakan Projek Pembinaan LRA Trusan Baharu.
Projek infrastruktur tersebut merangkumi pembinaan stesen muka sauk baharu berkapasiti 90 juta liter sehari (JLH) di lokasi berbeza bagi menggantikan fasiliti sedia ada secara kekal.
Pihak jabatan memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna dan memaklumkan pemantauan berterusan akan dilakukan di kawasan terjejas.
Maklumat perkembangan semasa disalurkan menerusi platform rasmi JBALB Sarawak, manakala sebarang aduan setempat boleh dikemukakan terus ke Pusat Panggilan JBALB di talian 082-262211.





