CYBERJAYA | 3 OKTOBER 2026 - Selepas beberapa hari menjadi perhatian pengguna dan pihak berkuasa, Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistem WhatsApp sehingga menyebabkan aktiviti pengguna yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan.

Perkara itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan tindakan suruhanjaya berkenaan mengemukakan aduan pengguna kepada Meta untuk mendapatkan penjelasan.

Menurut MCMC, kesilapan teknikal tersebut dikenal pasti dalam lebih separuh daripada kes bagi kumpulan pertama yang dikemukakan kepada Meta.

Meta memaklumkan kesilapan berkenaan telah ditangani pada penghujung September, manakala akaun sah yang terjejas dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan.

Pada masa sama, Meta mengesahkan tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp.

BUKAN SEMUA AKAUN DIGANTUNG KERANA KESILAPAN SISTEM

MCMC turut menjelaskan bahawa kes penggantungan akaun tidak semestinya berpunca daripada satu faktor.

Menurut Meta, antara perkara yang boleh menyebabkan akaun digantung termasuk penggunaan semula nombor telefon yang pernah dikaitkan dengan akaun yang disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan oleh sistem keselamatan WhatsApp.

Laporan pengguna juga menjadi salah satu faktor yang dinilai, namun ia bukan satu-satunya asas bagi tindakan penggantungan.

Perkembangan itu penting kerana MCMC sebelum ini menerima 92 aduan berkaitan akaun WhatsApp yang digantung, tidak dapat diakses atau diakses tanpa kebenaran. 

AKAUN PERNIAGAAN TURUT DIBERI PERHATIAN

Bagi akaun perniagaan pula, Meta menjelaskan bahawa penghantaran mesej tanpa persetujuan penerima atau dalam jumlah yang tinggi, khususnya kepada individu yang tidak berada dalam senarai kenalan, boleh dikesan sebagai aktiviti spam.

Pengguna perniagaan disarankan mendapatkan persetujuan penerima sebelum menghantar mesej secara pukal.

Dalam pada itu, MCMC meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan akaun supaya pengguna yang terjejas menerima pengesahan, maklumat status semakan serta tindakan susulan yang lebih jelas dan pantas.

Pengguna yang masih menghadapi masalah dinasihatkan menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp.

MCMC berkata pihaknya akan terus memantau kes yang masih tertunggak dan memastikan langkah penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan semula akaun mereka.

Jika langkah Meta didapati tidak memadai, tindakan kawal selia selanjutnya akan dipertimbangkan.

Perkembangan terbaru itu menyusuli beberapa langkah MCMC sejak 25 September bagi mendapatkan penjelasan Meta berhubung aduan akaun WhatsApp yang digodam, disekat atau tidak lagi boleh diakses. MCMC sebelum ini turut menegaskan bahawa pengambilalihan akaun dan penyekatan akaun merupakan dua perkara berbeza.