JOHOR BAHRU, 25 SEPTEMBER 2026 — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi pangkalan operasi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) bagi AQSolotl Pte. Ltd., syarikat teknologi kuantum berpangkalan di Singapura.

Operasi itu ditempatkan di UTM Technovation Park, Johor Bahru, sekali gus menjadikan UTM sebagai lokasi operasi syarikat perkakasan pengkomputeran kuantum pertama Malaysia, menurut laporan rasmi UTM bertarikh 23 September 2026. 

AQSolotl mengembangkan teknologi CHRONOS-Q, iaitu pengawal kuantum yang berfungsi sebagai penghubung antara sistem pengkomputeran konvensional dengan komputer kuantum.

Teknologi berkenaan dibangunkan hasil penyelidikan melibatkan Nanyang Technological University (NTU) Singaporedan National University of Singapore (NUS) sebelum dikomersialkan melalui AQSolotl. 

CHRONOS-Q direka bagi membolehkan komputer konvensional mengawal sistem kuantum dengan lebih cekap, termasuk mengurus isyarat kawalan yang diperlukan oleh pemproses kuantum. 

UTM turut mempunyai penglibatan langsung dalam ekosistem teknologi berkenaan menerusi Dr Yap Yung Szen, pensyarah kanan UTM yang juga Ketua Pegawai Teknologi (CTO) AQSolotl. 

Penempatan operasi R&D&C AQSolotl di UTM Technovation Park memperkukuh peranan taman teknologi berkenaan sebagai platform yang menghubungkan universiti, penyelidikan, industri dan aktiviti pengkomersialan teknologi. 

Perkembangan itu turut memperlihatkan penglibatan UTM dalam pembangunan teknologi kuantum dan usaha menterjemahkan hasil penyelidikan kepada aplikasi serta peluang pengkomersialan.