KUALA LUMPUR, 25 SEPTEMBER 2026 — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti aduan orang ramai berhubung akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam, disekat atau tidak lagi dapat diakses.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan kes berkenaan telah dikemukakan kepada Meta bagi mendapatkan penjelasan serta tindakan sewajarnya.

Menurut MCMC, pengambilalihan akaun dan penyekatan akaun merupakan dua perkara berbeza. Akaun yang telah diambil alih pihak tidak bertanggungjawab boleh disalahgunakan untuk penipuan, spam atau aktiviti yang melanggar syarat WhatsApp sehingga menyebabkan akaun berkenaan disekat oleh platform.

Pengguna yang terjejas dinasihatkan menggunakan saluran rasmi WhatsApp untuk pemulihan atau semakan akaun, selain tidak berkongsi kod pengesahan atau PIN keselamatan, mengaktifkan ciri Two-Step Verification serta mengelakkan pautan atau aplikasi mencurigakan.

MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak yang menawarkan perkhidmatan pemulihan akaun dengan meminta bayaran, maklumat peribadi atau kod pengesahan.

Sekiranya masalah masih tidak dapat diselesaikan melalui saluran rasmi WhatsApp, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada MCMC untuk tindakan lanjut dan pengemukaan kes kepada Meta.