KUCHING, 24 SEPTEMBER 2026 — Seramai 15 peserta menyertai Kursus Asas Pengadil dan Hakim Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Tahun 2026 yang berlangsung pada 19 hingga 20 September lalu di Kelab Sting Muaythai Gym, Kuching.

Kursus anjuran PMNS itu disertai peserta lelaki dan wanita yang mempunyai latar belakang dalam sukan muay, dengan fokus melahirkan lebih ramai pengadil dan hakim yang bertauliah, berpengetahuan serta berkelayakan di peringkat negeri.

Program turut memberi pendedahan mengenai Peraturan dan Syarat IFMA serta penggunaan System Strike By Strike (SBS), selain menyeragamkan kaedah pemarkahan, etika dan tatacara pengadilan selaras dengan standard kebangsaan dan antarabangsa.

Sepanjang kursus, peserta mengikuti sesi teori berkaitan etika dan falsafah pengadil serta hakim, peraturan pertandingan IFMA, format kategori pertandingan, penugasan pegawai teknikal, sistem pemberian markah, kaedah membuat keputusan pertandingan, prosedur protes dan pengendalian kejohanan.

Peserta kemudiannya menjalani sesi praktikal pengadil dan hakim secara berkumpulan sebelum penilaian akhir, sesi postmortem dan majlis penutup pada hari kedua.

Kursus dikendalikan sepenuhnya oleh Master Borhan Budong, selaku Pengerusi Pengadil dan Hakim, Persatuan Muaythai Malaysia (PMM).

Menurut laporan penganjuran, program itu turut menjadi platform membentuk pegawai teknikal yang profesional, berintegriti, adil dan bebas daripada sebarang pengaruh, selain membuka peluang kepada pegawai berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antara laluan yang boleh diterokai termasuk National Technical Official (NTO) dan seterusnya ke peringkat IFMA/International Technical Official (ITO).

Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim, berharap penganjuran kursus seumpama itu dapat membantu melahirkan lebih ramai pengadil dari Sarawak yang proaktif, berilmu dan berkeyakinan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pegawai teknikal.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dan sokongan dalam menjayakan kursus berkenaan.

PMNS turut menghargai sokongan Persatuan Muaythai Bahagian Kuching, Sting Muaythai Club dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dalam usaha memperkukuhkan pembangunan pegawai teknikal serta ekosistem sukan muay di Sarawak.