KUCHING | 6 November 2026 – Pemimpin parti politik dari Semenanjung Malaysia disaran supaya tidak mencampuri perjalanan kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 bagi menghormati hak rakyat negeri ini menentukan tampuk pemerintahan sendiri.

IMG_1365

Ketua Penerangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Naib Presiden PBB, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap pada sidang media di Kuching hari ini, mengulas mengenai pengumuman tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 oleh SPR serta menasihatkan parti politik dari Semenanjung agar menghormati hak rakyat negeri ini dan tidak campur tangan dalam kempen pilihan raya. Foto: Jiwa Bakti

Ketua Penerangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, proses pemilihan mandat negeri wajar diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan rakyat Sarawak tanpa pembabitan berlebihan kepimpinan politik luar.

Beliau menjelaskan, GPS konsisten mengekalkan prinsip tidak menghantar jentera kempen ke mana-mana pilihan raya negeri di Semenanjung sebelum ini, termasuk di Johor, Melaka mahupun Negeri Sembilan.

“Justeru, saya berpendapat pendekatan serupa wajar dipraktikkan parti politik dari Semenanjung demi menghormati hak demokrasi rakyat Sarawak.

“Bagaimanapun, saranan ini bukanlah satu larangan kemasukan untuk berkempen memandangkan negara berpegang kepada sistem demokrasi berparlimen,” katanya pada sidang media berhubung reaksi penetapan tarikh PRN Sarawak ke-13 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Abdul Karim dalam masa sama mengingatkan bahawa perbezaan gelanggang di peringkat negeri tidak sepatutnya meretakkan keharmonian kerjasama GPS bersama parti-parti rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Tegasnya, situasi menyerang GPS di Sarawak tetapi pada masa sama mengharapkan sokongan kerusi Parlimen bagi pembentukan kerajaan di Putrajaya adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku.

Menyentuh mengenai persiapan calon GPS, beliau menegaskan keputusan muktamad pemilihan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS dan Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, sebahagian besar calon PBB telah dikenal pasti, dengan beberapa kawasan berkemungkinan menyaksikan penampilan muka baharu atau pertukaran penyandang bagi menyediakan kesinambungan kepimpinan generasi pelapis masa hadapan.

Langkah pertukaran itu tidak mencerminkan kelemahan penyandang, sebaliknya mengambil kira proses pembinaan pemimpin berpengalaman yang memakan masa antara 15 hingga 20 tahun, selain penilaian ketat terhadap aspek integriti, kesihatan, kelayakan akademik serta kestabilan kewangan calon.

Beliau turut menitipkan pesanan agar individu yang giat melobi di media sosial bertenang dan menghormati keputusan rasmi pucuk pimpinan parti sebaik sahaja watikah pencalonan diumumkan.