KUCHING | 21 Oktober 2026 - Teka-teki mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akhirnya menemui titik noktah apabila DUN ke-19 difahamkan bakal dibubarkan pada Isnin ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

Kali terakhir PRN Sarawak diadakan adalah pada 18 Disember 2021, yang menyaksikan GPS menang 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. - Gambar fail
Menurut sumber terdekat, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka membuat pengumuman penting berhubung pembubaran tersebut di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching pada petang Jumaat.
Difahamkan, pada sebelah pagi hari yang sama, beliau terlebih dahulu akan mengadakan kunjungan mengadap ke atas Yang Dipertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi memohon perkenan rasmi pembubaran DUN berkenaan. Agensi berkaitan termasuk pihak keselamatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan telah dimaklumkan mengenai perancangan tersebut.
Persidangan DUN Sarawak ke-19 yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada Rabu menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menguasai sebanyak 80 daripada 82 kerusi keseluruhan. Dominasi ini diperkukuhkan selepas pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 2025 yang menyaksikan ahlinya menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) secara en-bloc, manakala penyandang kerusi Batu Lintang, See Chee How bertindak sebagai wakil rakyat Bebas yang mesra GPS.
Menerusi pilihan raya kali ini, jumlah kerusi dipertandingkan kekal pada 82 kerusi. Tambahan 17 kerusi baharu yang diluluskan pada Persidangan DUN 2025 difahamkan masih dalam proses kajian persempadanan semula oleh SPR dan dijangka mengambil masa kira-kira setahun, sekali gus belum sempat diguna pakai untuk PRN kali ini.
Kali terakhir PRN Sarawak diadakan adalah pada 18 Disember 2021, di mana GPS mencatat kemenangan selesa dengan merangkungi 76 kerusi. Tempoh rasmi mandat DUN semasa dijadualkan berakhir pada Februari 2027. Sebaik sahaja pembubaran diumumkan secara rasmi, SPR akan bermesyuarat untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi menentukan mandat baharu pentadbiran negeri.





