KUCHING | 16 Oktober 2026 - Pelaksanaan 110 projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dengan nilai keseluruhan RM206.11 juta bakal merancakkan landskap kemajuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong.

Berdasarkan laporan pencapaian pembangunan DUN Kabong sempena perbahasan Perbelanjaan Sarawak 2027, daripada jumlah tersebut, 40 projek telah siap sepenuhnya, 10 mengikut jadual, dan dua mendahului jadual. Walau bagaimanapun, 57 projek masih berada di peringkat perancangan manakala satu projek diklasifikasikan sebagai lewat kritikal.

Dalam perbahasan yang menyokong tema belanjawan "Bersama Membina Kemakmuran Dan Menjamin Masa Depan Kita", kerajaan digesa agar mempercepatkan projek yang masih dalam perancangan supaya manfaat pembangunannya dapat dinikmati oleh rakyat tanpa kelewatan.

Antara isu infrastruktur kritikal yang dibangkitkan termasuklah keperluan menjalankan kajian teknikal bagi menaikkan paras 'weir' di Loji Rawatan Air (LRA) Lichok, yang berkapasiti 25 Juta Liter Sehari (MLD). Langkah konkrit ini penting bagi mengatasi masalah kekurangan air mentah akibat kemarau berpanjangan di kawasan tersebut.

Selain itu, jaminan perluasan liputan dan kestabilan telekomunikasi turut ditekankan bagi menyokong pendidikan digital, ekonomi rakyat, dan akses perkhidmatan kerajaan agar tidak menjadi penghalang kepada pembangunan.

DUN Kabong turut memohon penjelasan mengenai status terkini beberapa projek utama seperti projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Ulu Roban dan Gerigat, pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong yang baharu, Masjid Baharu Kampung Sessang, serta pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat. Isu projek ban pecah di Sungai Benang juga digesa untuk dilihat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai "life line" bagi petani yang terjejas.

Dari sudut pemerkasaan sosioekonomi, potensi pelancongan di Pantai Tanjung Kembang dicadangkan untuk dinaik taraf melalui pembangunan medan selera (food court) dan inap desa (homestay). Pembangunan sektor pertanian turut diberi tumpuan melalui penanaman kelapa di Tanjung Empiong dan pisang di Kampung Empelam, yang disokong dengan cadangan penubuhan sebuah Pusat Latihan Kemahiran di Kabong bagi memperkasa latihan teknikal dan vokasional belia lepasan sekolah.

Bagi memudahkan urusan harian penduduk tempatan, perancangan pembinaan sebuah stesen minyak PETROS di Pekan Kabong serta usulan pewujudan jawatan Pemanca disifatkan sebagai satu keperluan mendesak yang wajar diberi perhatian segera untuk memperkukuh struktur kepimpinan masyarakat. Dalam masa yang sama, agensi pelaksana juga dituntut mengambil serius isu kelewatan pembayaran yang menjejaskan aliran tunai kontraktor kecil dan sederhana.