LIMBANG | 2 OKTOBER 2026 — Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Negeri Sarawak Kali Ke-44 Tahun 2026 berlangsung di Limbang dan Lawas, menghimpunkan warga perkhidmatan pendidikan dari seluruh Sarawak.

Majlis perasmian pesta berkenaan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak.

Pesta PSKPP Negeri Sarawak ke-44 berlangsung dari 1 hingga 4 Oktober 2026, dengan pelbagai acara sukan dan kebudayaan melibatkan penyertaan warga perkhidmatan pendidikan negeri.

Antara acara yang dipertandingkan termasuk bola sepak, bola tampar, bola jaring, petanque, badminton, sepak takraw, kebudayaan, futsal, bola baling, scrabble, catur, memanah, menyumpit, memancing tebingan, dart berpasukan dan sukan rakyat. 

Beberapa acara turut dilaksanakan lebih awal di Miri, antaranya golf, boling tenpin dan tenis pada 17 hingga 19 September lalu. 

Penganjuran pesta berkenaan menjadi wadah memperkukuh semangat kesukanan, kebudayaan dan jalinan silaturahim dalam kalangan warga perkhidmatan pendidikan di seluruh Sarawak.

Selain aspek persaingan dalam sukan, program berkenaan turut menjadi platform untuk menggalakkan penglibatan warga pendidikan dalam aktiviti kebajikan, perpaduan dan kesejahteraan komuniti.

Majlis penutupan Pesta PSKPP Negeri Sarawak ke-44 dijadual berlangsung pada 4 Oktober 2026 di Dewan Suarah Limbang.